João 17

Kitab Suci Zabur dan Injil (ZLMKSZI)

1 Setelah itu, Isa menengadah ke langit lalu berkata,

2 Engkau telah memberi Putera-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya.

3 Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan Yang Benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus.

4 Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku.

5 Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersamamu sebelum dunia ini diwujudkan.

6 ‘Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu.

7 Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu.

8 Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku.

9 Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu.

10 Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka.

11 Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu.

12 Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa, kecuali anak kebinasaan itu supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Kitab Suci.

13 ‘Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya.

14 Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan daripada dunia ini.

15 Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada Si Durjana.

16 Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka.

17 Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran.

18 Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia.

19 Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran.

20 ‘Aku bukan berdoa untuk mereka saja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka.

21 Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.

22 Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu.

23 Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.

24 ‘Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi.

25 ‘Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.

26 Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh di hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.’

Ler em outra tradução

Comparar lado a lado

Estude este capítulo no WhatsApp

Peça à IA da Bíblia Fala para explicar João 17, comparar traduções ou montar um estudo — tudo direto pelo WhatsApp.